Struktur Tadbir Urus

Struktur tadbir urus MyGovEA yang berpusat di MAMPU, dikenali sebagai Pejabat Enterprise Architecture (EAO) berperanan untuk menyelaras dan memantau secara keseluruhan pembangunan dan pelaksanaan EA merentasi Sektor Awam. EAO terdiri daripada tiga (3) pasukan iaitu Pasukan Architecture, Pejabat Pengurusan Projek (PMO) dan Pejabat Pengurusan Perubahan (CMO). Struktur tadbir urus EAO yang berpusat di MAMPU adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.
 
 
 
Peranan Pasukan EAO
Peranan pasukan EAO adalah seperti berikut:
  • EAO diketuai oleh Ketua Arkitek yang bertanggungjawab menyelia dan menyelaras tugas pasukan Architecture, PMO dan CMO serta bertanggungjawab untuk membangun dan menyelenggara EA agensi bagi domain bisnes, data, aplikasi dan teknologi. Ketua Arkitek mestilah mahir dalam bidang perancangan strategik bisnes dan ICT, pembangunan dasar ICT, pengurusan projek serta mencadangkan penyelesaian terhadap penjajaran perubahan bisnes dan ICT serta mempunyai pengetahuan dalam operasi bisnes dan ICT. 
  • Pasukan Arkitek Bisnes terdiri daripada pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan khusus dalam bisnes agensi, proses dan operasi agensi serta bertanggungjawab untuk menakrif dan menyelenggara architecture bisnes agensi yang menerangkan bagaimana perkhidmatan dan operasi saling berkait untuk menyokong strategi bisnes agensi Sektor Awam.
  • Pasukan Arkitek Data terdiri daripada pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan khusus mengenai keperluan maklumat dan data agensi untuk menyokong operasi bisnes. Arkitek Data akan bertanggungjawab untuk membangunkan dan mengekalkan amalan terbaik dalam pengurusan data organisasi agensi Sektor Awam.
  • Pasukan Arkitek Aplikasi terdiri daripada pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan khusus secara mendalam berkaitan sistem aplikasi yang menyokong keperluan bisnes agensi Sektor Awam.
  • Pasukan Arkitek Teknologi terdiri daripada pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan khusus mengenai pembangunan dan pengemaskinian architecture teknologi agensi. Arkitek Teknologi bertanggungjawab untuk mengawasi reka bentuk dan pelaksanaan infrastruktur ICT di agensi untuk memastikan pematuhan kepada architecture teknologi agensi Sektor Awam.
 
Peranan PMO
Pejabat Pengurusan Projek bertanggungjawab dalam memantau pelaksanaan inisiatif EA, membantu dan bekerjasama dengan inisiatif merentasi agensi.
 
Peranan CMO
Pejabat Pengurusan Perubahan akan melaksanakan pelan Pengurusan Perubahan yang berfungsi sebagai panduan untuk Program Pengurusan Perubahan di semua peringkat pelaksanaan MyGovEA.
 
Tadbir Urus EAO Agensi 
Agensi Sektor Awam hendaklah mewujudkan EAO bagi membangun dan melaksana EA di agensi. Struktur EAO di agensi adalah dicadangkan mempunyai struktur yang sama dengan EAO di MAMPU yang merangkumi tiga (3) pasukan iaitu Pasukan Architecture Agensi, Pejabat Pengurusan Projek Agensi dan Pejabat Pengurusan Perubahan Agensi. Agensi perlu mewujudkan EAO Agensi sebelum memulakan pembangunan EA dengan mempertimbangkan beberapa pilihan berikut:
  1. Penubuhan EAO Agensi adalah bergantung kepada saiz agensi, skop kerja architecture dan sumber yang ada. 
  2. Penubuhan EAO Agensi sebagai satu unit/ pasukan kerja/ jawatankuasa yang  melapor kepada Ketua Pengarah Agensi/ Ketua Pegawai Maklumat (CIO) agensi.
  3. Pasukan EAO Agensi hendaklah dipilih berdasarkan kemahiran dan kompetensi pegawai untuk meneraju pembangunan EA dan operasi bisnes di agensi.