1GovEA Infoblast - Memacu Transformasi Perkhidmatan Kerajaan Ke arah Perkhidmatan Digital Bersepadu

26/8/2016
Author: 
MAMPU
PENGENALAN
Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) 2016-2020 merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020 dan menjadi asas kepada pembangunan masa hadapan negara dengan tema ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’. Bagi mencapai matlamat ini, RMKe-11 merencana pertumbuhan mampan menerusi enam teras strategik dan enam pemacu perubahan yang akan merealisasikan matlamat Malaysia mencapai status negara maju dan inklusif menjelang tahun 2020.
 
Sejajar dengan perancangan RMKe-11, agensi Sektor Awam perlu mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan dengan mengutamakan rakyat. Bagi menyokong visi Kerajaan ini, Enterprise Architecture (EA) dikenal pasti dalam menyepadukan strategi bisnes dan ICT serta berkongsi maklumat dan data antara agensi bagi merealisasikan matlamat Kerajaan Digital. Sehubungan dengan perkara tersebut, Rangka Kerja ICT Sektor Awam 2016-2020 telah merangka empat komponen utama iaitu Visi ICT, Teras Strategik ICT, Ekosistem Pemboleh Daya dan Prinsip Asas yang menjadi teras bagi merealisasikan punca kuasa yang diamanahkan kepada MAMPU bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan bertumpukan rakyat dengan menghapuskan kerenah birokrasi, memperluas liputan perkhidmatan dan meningkatkan akauntabiliti melalui Kerajaan Digital.
 
 
APAKAH ITU EA
EA adalah satu pendekatan berstruktur untuk menakrifkan sesebuah organisasi atau enterprise merentas empat domain iaitu Bisnes, Data, Aplikasi dan Teknologi bagi membolehkan organisasi untuk menerangkan aspek-aspek berikut:
  1. Misi, objektif dan strategi dalam sesebuah organisasi;
  2. Proses bisnes bagi mencapai misi dan strategi bisnes;
  3. Modal insan yang melaksanakan proses bisnes di organisasi;
  4. Teknologi yang membantu dan menyokong proses-proses bisnes; dan
  5. Aplikasi sistem yang saling berhubung.
“Dalam memberikan perkhidmatan terbaik, penjawat awam perlu mengamalkan budaya yang produktif, kreatif dan inovatif… yang akan mencetuskan paradigma baru dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang lebih efektif, cekap dan responsif”
 
YAB DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA – The Star, 6 April 2013
 
PENGENALAN PROJEK 1GOVEA
Pelaksanaan 1GovEA dalam sektor awam akan merangkumi semua agensi kerajaan, bermula dengan 25 Kementerian dan 24 agensi kerajaan, termasuklah perkhidmatan kerajaan barisan hadapan dan agensi pusat. Projek 1GovEA diterajui oleh MAMPU dan akan dilaksanakan dalam 3 fasa, dari 2016 sehingga tahun 2020 seperti rajah berikut. Fasa 1 sedang dilaksanakan dan tempohnya adalah 18 bulan iaitu dari 9 November 2015 hingga 8 Mei 2017. Agensi perintis yang akan melaksanakan EA adalah MAMPU dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaan projek ini, aktiviti-aktiviti pengurusan perubahan telah dirancang bukan sahaja kepada MAMPU dan KPKT, tetapi juga semua kementerian/agensi sektor awam supaya dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan EA direalisasikan di semua kementerian dan agensi Sektor Awam.
MENGENAI 1GOVEA
1GovEA merupakan rangka kerja yang menjadi panduan / rujukan Sektor Awam di Malaysia dalam membina amalan EA di agensi masing-masing. Tujuan utama rangka kerja 1GovEA adalah menyediakan pendekatan yang sama, langkah-langkah dan templat bagi memastikan kaedah pembangunan EA di Sektor Awam konsisten dan berpusat.
Melihat perubahan permintaan rakyat kini yang lebih sofistikated, 1GovEA memberikan definasi baharu bagi Sektor Awam dalam menghadapi cabaran perubahan budaya, bisnes dan ICT dalam sesebuah organisasi. Agensi akan mewujudkan single view dalam keseluruhan persekitaran bisnes dan ICT bagi menerangkan hubung kait antara perkhidmatan-perkhidmatan, agensi, proses perkhidmatan, dan sumber manusia.
 
VISI 1GOVEA
1GovEA Mewujudkan Unified Enterprise Architecture Bagi Melonjakkan Proses Transformasi Sistem Penyampaian Perkhidmatan Sektor Awam.
 
STRATEGI 1GOVEA
  1. Penjajaran strategik Bisnes dan ICT di Agensi;
  2. Prosedur dipermudahkan di Sektor Awam;
  3. Penggunaan notasi paiwai; dan
  4. Pengukuhan keupayaan modal insan Sektor Awam dalam bidang EA melalui pembangunan kompetensi.
 
NILAI 1GOVEA
Antara faedah pembangunan EA bagi sektor awam di Malaysia adalah:
  1. Penyepaduan Strategik Organisasi dan Strategik ICT
Pembangunan strategi organisasi dan ICT digabungkan sebagai satu inisiatif organisasi bagi membolehkan arah tuju organisasi dan ICT dalam memahami atkitektur semasa dan menggambarkan arkitektur masa hadapan agensi.
  1. Perkongsian maklumat
EA membenarkan perkongsian maklumat silang agensi diperkukuhkan dengan penyimpanan artifak EA secara berpusat oleh semua agensi Sektor Awam yang mudah dicapai, lengkap dan tepat
  1. Agenda pengukuhan kolaboratif merentasi agensi
EA menjadi satu pendekatan terbaik untuk melaksanakan kerjasama antara agensi. Sebagai contoh, agensi lain dapat melihat gambaran kemampuan organisasi secara menyeluruh dan kaitannya dengan agensi lain bagi memanfaatkan perkongsian maklumat merentasi agensi bagi menyokong proses membuat keputusan.
  1. Ketelusan prosedur dan proses di Sektor Awam
Melalui EA, integriti dan peningkatan kualiti perkhidmatan awan dapat dipertingkatkan apabila proses dan prosedur Sektor Awam dimantapkan bagi mengurangkan birokrasi dan proses yang lebih proaktif di antara agensi Sektor Awam. Ianya dapat menyokong keperluan analisis dan pelaporan strategik organisasi melalui penggunaan repositori berpusat.
 
PENUTUP
Kesimpulannya EA wajarlah diaplikasikan sebagai pemboleh daya kepada bisnes bagi memperkukuhkan perancangan bisnes dan pembangunan dasar yang lebih strategik, mengurangkan pembangunan projek ICT yang bersifat silo, mengoptimakan keupayaan dalam perkongsian maklumat, meningkatkan kemampuan rakyat untuk mengakses maklumat dan seterusnya mengenal pasti peluang mengintegrasi perkhidmatan sektor awam bagi mencapai visi di organisasi dan seterusnya Kerajaan Malaysia secara amnya.