Enterprise Architecture Pembolehdaya Transformasi Kerajaan Digital

20/10/2016
Author: 
Buletin MAMPU - Vol1 June2016
 
Enterprise ditakrifkan sebagai komponen organisasi yang mempunyai satu matlamat yang sama. Dalam persekitaran Kerajaan Malaysia ia memberi maksud Kerajaan sebagai sebuah organisasi yang mempunyai hala tuju strategik, objektif dan hasil perkhidmatan organisasi yang sama. Organisasi terdiri daripada entiti yang saling bergantung seperti struktur organisasi, proses bisnes, sistem maklumat, infrastruktur dan unit organisasi yang melaksanakan fungsi tertentu untuk menyokong objektif perkhidmatan organisasi.
 
Manakala Enterprise Architecture (EA) didefinisikan sebagai disiplin untuk memberi panduan dan menterjemahkan pelan perancangan aktiviti dan perkhidmatan kerajaan serta hubungkaitnya dengan pengurusan organisasi untuk merealisasikan hala tuju strategik kerajaan dan hasil perkhidmatan yang ditetapkan organisasi.
 
Pelaksanaan EA Sektor Awam atau 1GovEA akan menyediakan satu mekanisme untuk menjajarkan penggunaan teknologi dengan hala tuju bisnes Sektor Awam seperti Wawasan 2020, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Kerajaan Digital. Penjajaran tersebut untuk mencapai integrasi dan kolaborasi serta kerjasama di kalangan unit dalaman organisasi yang menguruskan pelbagai perkhidmatan dan kolaborasi merentas agensi.
 
EA berperanan sebagai pelantar strategik dalam konteks evolusi dan transformasi e-Kerajaan kepada Kerajaan Digital bagi memenuhi keperluan perubahan persekitaran perkhidmatan digital kepada rakyat. Perubahan ini mencakupi perubahan terhadap visi, misi, objektif, strategi, proses bisnes serta penjawat awam dan hubungkaitnya dengan perubahan data dan maklumat kerajaan, aplikasi dan teknologi. Pembudayaan dan amalan EA di Sektor Awam akan dapat menilai kekuatan dan batasan bisnes, perkhidmatan dan teknologi sedia ada dapat menyokong kecekapan, produktiviti dan inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi tujuan mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 
 
Contohnya, kajian oleh Forrester Research pada tahun 2006 melaporkan bahawa 66% projek ICT tidak menunjukkan nilai terhadap bisnes disebabkan masalah komunikasi di  antara proses bisnes dan teknologi maklumat. Jumlah kerugian mencecah sehingga USD30 billion setiap tahun. Antara pendekatan yang diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan melaksanakan EA untuk mencapai keseimbangan di antara kecekapan sistem, teknologi dan maklumat serta hasil inovasi proses bisnes. 
 
Klik di sini untuk artikel penuh mengenai bagaimana Enterprise Architecture bertindak sebagai pemboleh untuk mengubah Malaysia kepada Kerajaan Digital.